Tarikh: 13 Jun 2026
Tempat: Rumah Aman Children's Home, Sungai Buloh, Selangor.
Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menganjurkan program FACT Care : From Faculty to Society bersama Rumah Aman Children's Home, Sungai Buloh, Selangor. Program ini merupakan salah satu program Corporate Social Responsibility (CSR) anjuran Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Perakaunan bersama Association Bachelor of Accountancy Students (ABACCS) yang bertujuan untuk memupuk semangat tanggungjawab sosial, empati dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.20 petang ini melibatkan seramai 70 orang peserta, terdiri daripada anak-anak yatim berumur 8 hingga 17 tahun, staf Rumah Aman Children's Home, pensyarah serta sukarelawan mahasiswa. Pelaksanaan program ini merangkumi pelbagai aktiviti interaktif dan santai yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara peserta serta mewujudkan suasana yang ceria dan bermakna. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sukaneka yang melibatkan kerjasama berkumpulan, komunikasi dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Selain itu, para peserta turut menyertai aktiviti menghias tabung yang bertujuan untuk menggalakkan kreativiti, meningkatkan keyakinan diri serta memberi peluang kepada anak-anak yatim mengekspresikan idea dan bakat mereka.
Melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti tersebut, para pelajar berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan anak-anak yatim, sekali gus menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat. Program ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada semua peserta serta mengukuhkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa UiTM.







