RICAEN: KARNIVAL INOVASI UCS 2023

Tarikh : 14-15 Januari 2023 (Sabtu & Ahad)
Masa : 8.30 pagi – 5.00 petang
Tempat: Dewan Berlian, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam

 
Fakulti Perakaunan, UiTM Puncak Alam telah menyertai Karnival Inovasi UCS 2023, anjuran UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Majlis perasmian karnival tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan disaksikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor.

Karnival Inovasi UCS 2023 yang bertemakan “Inovasi Memperkasakan Ekonomi” ini merupakan inisiatif penting untuk merangsang budaya inovasi dalam kalangan warga Universiti dan seterusnya membantu menyumbang kepada pembangunan ekonomi Selangor. Terdapat lebih 70 pameran dan aktiviti menarik, termasuk pameran sains dan pertandingan reka bentuk, untuk membantu pelajar mengetahui tentang kepentingan inovasi.

Fakulti Perakaunan mempamerkan produk inovasi pensyarah dan pelajar pasca siswazah Fakulti Perakaunan, serta mengadakan acara cabutan bertuah kepada pengunjung yang terdiri daripada warga UiTM, pelajar sekolah dan orang awam. Rakan kerjasama industri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut menyertai tapak pameran Fakulti Perakaunan bagi memeriahkan karnival dua hari itu.
 
20230114a1.jpeg