BSN, UiTM laksana Projek Perintis Analitik Usahawan Kewangan Mikro (Bernama)

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkerjasama melaksanakan Projek Perintis Analitik Usahawan Kewangan Mikro bagi menambah baik pengurusan perakaunan pelanggan-pelanggan BSN Micro/i.

BSN dalam kenyataan hari ini berkata, UiTM melalui penglibatan para pensyarah dan pelajar Fakulti Perakaunan, Puncak Alam akan mengguna pakai perisian perakaunan “SPS Lite yang dibangunkan khas oleh firma perakaunan SALIHIN.

“Perisian perakaunan ini dapat membantu pelanggan-pelanggan BSN Micro/i memantau aktiviti kewangan perniagaan dan secara tidak langsung meningkatkan perniagaan mereka agar lebih berdaya saing dan kompeten dalam pengurusan kewangan,” katanya.

Ketua Eksekutif BSN Datuk Yunos Abd Ghani berkata projek perintis itu berlangsung selama enam bulan bermula April 2019 dan akan berakhir pada Oktober 2019.

Sepanjang tempoh program tersebut, pelanggan BSN Micro/i diberi peluang untuk mempelajari dan mengguna pakai perisian perakaunan “SPS Lite.

“Para pelanggan BSN Micro/i akan diberikan pendedahan cara perekodan transaksi perniagaan seperti jualan, belian, gaji pekerja dan lain-lain rekod perniagaan.

“Melalui program ini juga, pelanggan Micro/i dapat mengakses maklumat perniagaan mereka dan melihat rekod transaksi perniagaan. Data yang ada lebih teratur dan sistematik dan diharapkan dapat membantu menguruskan urusan kewangan dan perniagaan mereka dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kasim, berkata Inisiatif itu selari dengan aspirasi UiTM menggalakkan penglibatan pensyarah dalam bidang pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perundingan yang mampu meningkatkan kualiti mereka, sekali gus memberi manfaat kepada industri dan komuniti.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1737995