SHAH ALAM, 8 Mac (Bernama) -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyertai senarai universiti elit dunia apabila 13 daripada 37 subjeknya tersenarai dalam '2017 QS World University Rankings by Subject'.


Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata daripada jumlah itu, lapan subjek itu adalah subjek terbaharu yang tersenarai dalam penarafan dunia berkenaan.

Lapan subjek itu ialah Seni Bina dan Persekitaran Pembangunan, Seni Lukis dan Seni Reka, Kejuruteraan Kimia, Agrikultur dan Perhutanan, Perubatan, Farmasi dan Farmakologi, Kimia serta Pengurusan Perniagaan dan Pentadbiran.

"Lima subjek yang tersenarai dalam QS World University pada 2016 terus menunjukkan peningkatan pada skor iaitu Perakaunan dan Kewangan, Pendidikan, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrik serta Sains Komputer dan Sistem Maklumat," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata subjek Senibina dan Perancangan Persekitaran disenarai dalam kelompok 150 universiti terbaik dunia daripada 592 universiti yang dinilai.

Subjek lain iaitu Seni Lukis dan Seni Reka, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Mekanikal, Agrikultur dan Perhutanan, Farmasi dan Farmakologi serta Perakaunan dan Kewangan pula diperakukan antara 200 subjek terbaik di dunia.

Subjek Kejuruteraan Elektrik, Pengurusan Perniagaan serta Pendidikan turut menyertai kelompok 250 subjek terbaik dunia diikuti Sains Komputer, Perubatan serta Kimia yang masing-masing tersenarai dalam kategori 300, 400 dan 500 kedudukan teratas dunia.

"...kita yakin melalui strategi khusus dan pemantauan berkala, UiTM mampu memperbaiki kedudukan ini pada tahun-tahun akan datang," kata Hassan.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1335935&cat=tn