Tarikh : 9 April 2025
Tempat : Bangunan Canseleri, UiTM Shah Alam
Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bangunan Canseleri UiTM Shah Alam.
Majlis ini menyaksikan kehadiran delegasi MyPAC seramai tujuh orang yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaiton Mohd Hassan, seorang alumni ACCA UiTM yang tersohor dalam bidang perakaunan negara.
UiTM pula diwakili oleh Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), bersama barisan dekan dan pengurusan eksekutif Fakulti Perakaunan UiTM.
Kerjasama strategik ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara dunia akademik dan industri melalui program-program kolaboratif yang memberi pendedahan industri kepada pelajar UiTM.
Ia turut membuka peluang yang lebih besar kepada pelajar Bumiputera untuk mencapai pensijilan perakaunan profesional, selari dengan matlamat penubuhan MyPAC sejak Januari 2015.
UiTM kekal komited dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi, manakala MyPAC memainkan peranan penting dalam melahirkan akauntan profesional Bumiputera yang kompeten dan diiktiraf. Semoga kerjasama ini memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua institusi.