Pelajar dan Pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Menjayakan Program Khidmat Komuniti Antarabangsa di Yogyakarta, Indonesia.
Seramai 2 orang pensyarah dan 5 orang pelajar daripada Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menyertai International Community Service Program 2025 di Bantul, Yogyakarta, Indonesia.
Program ini bertujuan menyediakan platform bermakna kepada pelajar dan pensyarah untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawan rentas negara, bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (SMEs), serta menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Sepanjang empat hari program berlangsung (19-22 Mei 2025), pelbagai aktiviti telah dijalankan, termasuk:
Perbincangan akademik dan profesional melibatkan wakil institusi dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Uzbekistan bagi meneroka peluang kolaborasi dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta penerbitan bersama di jurnal dan prosiding antarabangsa.
Aktiviti kesukarelawan komuniti bersama pelbagai entiti tempatan seperti Bumdes, Pustaka Desa Wukirsari, pengusaha Wedang Uwuh, Batik Giriloyo, serta kelompok wanita tani dan pengusaha kraftangan tempatan termasuk anyaman buluh dan kraf wayang.
Dialog dan sesi Focus Group Discussion (FGD) yang membincangkan impak perusahaan kecil terhadap pertumbuhan ekonomi negara, dengan penyertaan wakil dari keempat-empat negara.
Perkongsian ilmu dan kepimpinan pelajar, yang melibatkan wakil pelajar dari pelbagai persatuan universiti, bertujuan memperkukuh jaringan dan semangat kepimpinan rentas budaya.
Lawatan ilmiah dan kebudayaan ke lokasi bersejarah seperti Malioboro, Borobudur dan sekitar kawasan budaya di Bantul, yang memperkayakan pemahaman peserta terhadap warisan dan sejarah tempatan.
Penyertaan dalam program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antarabangsa UiTM dengan rakan institusi serantau, malah menyemai nilai kesukarelawan, kepimpinan, dan pemerkasaan komuniti dalam kalangan warga akademia.