Tarikh : 26 - 27 April dan 14 May 2025
Tempat : Discord (Virtual)
Objektif:
Untuk mewujudkan sebuah platform yang dinamik bagi meningkatkan penglibatan pelajar, memupuk semangat kerjasama berpasukan, serta memajukan bidang e-sukan yang semakin berkembang. Inisiatif ini turut bertujuan untuk membina semangat komuniti dalam kalangan pelajar melalui pengalaman permainan yang kompetitif dan menyeronokkan.
Rumusan Program:
Program The Legend of The Month yang telah dianjurkan oleh Association of Professional Accounting Students (APAcS) merupakan satu inisiatif yang berjaya menyediakan platform interaktif untuk para pelajar ACCA UiTM Shah Alam mempamerkan bakat mereka dalam bidang e-sukan, khususnya permainan Mobile Legends. Program ini bertujuan untuk memupuk keseimbangan gaya hidup pelajar dengan memberi ruang kepada mereka melepaskan tekanan akademik melalui aktiviti rekreasi yang menyeronokkan dan kompetitif. Sepanjang kejohanan ini, para peserta dapat meningkatkan kemahiran insaniah seperti kerjasama berpasukan, komunikasi, pemikiran strategik dan penyelesaian masalah secara masa nyata.
Program ini telah dilaksanakan secara teratur bermula dengan proses pendaftaran, pengelompokan pasukan, dan perlaksanaan kejohanan mengikut format pertandingan yang ditetapkan, termasuk perlawanan peringkat kumpulan dan kalah mati. Majlis penutup telah diadakan sejurus selepas perlawanan akhir Best of 5 (Bo5) dengan penyampaian hadiah kepada pasukan terbaik dan pengiktirafan kepada pemain cemerlang seperti Anugerah MVP. Sesi fotografi turut dijalankan bagi meraikan penglibatan semua peserta, moderator, dan pensyarah yang terlibat. Kejayaan program ini membuktikan bahawa e-sukan mampu menjadi medium positif dalam membina komuniti pelajar yang sihat, inklusif dan seimbang dari segi akademik dan rekreasi.