Tarikh : 9 Mei 2025
Masa : 4.30ptg - 8.30mlm
Tempat : Dewan Kolej Seroja, Kolej Kediaman Seroja, UiTM Shah Alam
Objektif:
Objektif penganjuran 14Raya Fest adalah untuk mengeratkan hubungan antara pelajar, pensyarah dan warga fakulti melalui sambutan Hari Raya Aidilfitri yang meriah dan harmoni. Program ini juga bertujuan untuk memelihara budaya serta adat resam masyarakat Melayu, di samping memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat dan kemahiran kepimpinan. Selain itu, ia turut menjadi platform bagi membina jaringan sosial dan mencipta kenangan bermakna sepanjang pengajian di universiti.
Rumusan Program:
Program 14Raya Fest telah berjaya dianjurkan oleh Association of Professional Accounting Students (APAcS) sebagai satu inisiatif menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan warga Fakulti Perakaunan. Bertemakan “Gather, Celebrate, and Reflect”, program ini menghimpunkan lebih 300 peserta termasuk VIP, pensyarah, pelajar, anak yatim dan ahli jawatankuasa.
Antara pengisian utama yang memeriahkan acara termasuk persembahan oleh pasukan nasyid dan 14Talents, sesi sumbangan kepada anak yatim, trivia raya, cabutan bertuah, dan penyampaian anugerah “Raya Outfit of the Day”. Majlis turut diserikan dengan ucapan perasmian oleh Dekan Fakulti Perakaunan serta wakil dari ACCA dan PwC Malaysia, selain montaj serta gimik pelancaran.
Program ini telah memberikan impak positif kepada pelajar melalui pengalaman pengurusan acara, meningkatkan semangat perpaduan, serta memupuk kecintaan terhadap budaya dan institusi. Ia ditutup dengan sesi fotografi rasmi sebagai simbolik kenangan manis sepanjang program berlangsung.