APPLY  |  GIVE  |  STUDENTS  |  STAFF  |  ALUMNI

Megat insan bertuah (myMetro)

Bergelar seorang akauntan bertauliah dengan sijil kelayakan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) sememangnya menjadi impian setiap graduan jurusan perakaunan.

Akan tetapi, tidak semua mampu mencapai impian itu lantaran kerana peperiksaan ACCA bukanlah sesuatu yang mudah dan setiap tahun dianggarkan kurang 40 peratus saja yang lulus di seluruh dunia.

Namun, jika ada kemahuan, di situ pasti ada jalannya. Meskipun pernah gagal ketika pertama kali menduduki peperiksaan sijil profesional itu tahun lalu, namun Megat Sodiq Azlan, 23, tidak berputus asa, sebaliknya berusaha lebih gigih untuk memastikan dia lulus dengan cemerlang pada cubaan kali kedua.

Anak ketiga daripada lima beradik itu antara 61 graduan program ACCA Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UITM) yang baru saja menghadiri majlis konvokesyen, akhir Oktober lalu.

Menurut Megat Sodiq, peperiksaan profesional itu mempunyai 14 kertas dan calon perlu lulus semuanya untuk layak menerima sijil kelayakan profesional ACCA.

Kata Megat Sodiq, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mengambil program profesional asas, Certificate Accountant Technician (CAT) sebelum menyambung ke sijil ACCA.

“Sebagai pelajar lepasan SPM, program CAT dan ACCA dapat dihabiskan dalam tempoh empat tahun enam bulan saja berbanding pengajian peringkat diploma dan ijazah yang mengambil masa lima tahun.

“Alhamdulillah, pada usia 23 tahun, saya menamatkan pelajaran dan mendapat kelayakan sebagai seorang akaun bertauliah yang diiktiraf,” katanya kepada Harian Metro.

Jelas Megat Sodiq lagi, sijil ACCA meliputi kelayakan semua bidang perniagaan, daripada penyata kewangan, perakaunan pengurusan, percukaian perniagaan, undang-undang untuk audit dan juga etika perniagaan.

Katanya, lulusan ACCA bukan saja mempunyai skop kerja yang luas di pasaran tempatan, malah apa yang lebih istimewa, ia turut diiktiraf lebih 160 negara di seluruh dunia.

“Jika memiliki Sijil Akauntan Bertauliah ACCA ini, boleh bekerja di mana-mana negara yang mengiktiraf badan berkanun antarabangsa itu,” katanya.

Dalam pada itu, penat lelah anak muda ini bersengkang mata menumpukan perhatian kepada pelajaran selama ini berbaloi kerana ketika rakan sebayanya yang masih tercari-cari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan sebaik saja selesai konvokesyen, Megat Sodiq sudah mendapat kerja impiannya.

Megat Sodiq kini adalah akauntan di firma akauntan dan audit antarabangsa terkemuka, Ernst & Young Chartered Accountants, Kuala Lumpur.

Menurut Megat Sodiq, dia tidak kesal memilih kursus profesional itu berbanding melanjutkan pelajaran peringkat diploma atau ijazah sarjana muda kerana yakin dengan nilai prestij sijil berkenaan.

Katanya, tidak semua akauntan yang lulus dan menerima sijil profesional berkenaan dan dia bersyukur kerana menjadi antara yang bertuah.

“Kelayakan ini bukan senang untuk diperoleh kerana setiap tahun dianggarkan hanya 40 peratus saja yang menduduki peperiksaan ini dari seluruh dunia lulus manakala 60 peratus lagi terpaksa mengulanginya semula.

“Menyukarkan lagi keadaan, ACCA hanya memberikan tempoh selama 10 tahun saja untuk calon lulus semua kertas yang diambil,” katanya.

Sementara itu, pencapaian cemerlang anak kepada pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Raja Zarina Othman dan bekas eksekutif sebuah syarikat cari gali, Azlan Ahmad dalam bidang perakaunan sebenarnya didorong sejarah keluarga beliau.

Datuk saudaranya, Tan Sri Hanafiah Hussein, antara anak Melayu pertama menjadi akauntan bertauliah dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) pada tahun 1980-an dulu.

Selain itu, abang sulungnya, Megat Solleh Azlan adalah seorang akauntan bertauliah dan kini berkhidmat bersama Malaysia International Shipping Corporation (MISC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 8:56 AM

CONTACT US

Faculty of Accountancy
Aras 1 & 2 Bangunan FPN,

Universiti Teknologi MARA,
Cawangan Selangor, 
Kampus Puncak Alam, 
42300 Bandar Puncak Alam,
Selangor, Malaysia

Academic Office

DPAS Office

Social Media

   

 

 

WEBSITE STATISTICS

This Year

Visitor 406
Pageviews 1,024,934

*Data source: Awstats