Nur Arini (kiri) dan Nur Syahirah menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan pada Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen UiTM ke-90. - NSTP/Faliq Lajim |
SHAH ALAM: Sikap pemurah dengan ilmu pengetahuan membawa berkat apabila seorang graduan Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) bukan saja dapat bergraduan pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-90, malah menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) hari ini.
Nur Arini Mohamad Rusop, 24, menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan selepas berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.83.
Anak ketiga daripada sembilan beradik itu berkata, beliau berkongsi ilmu dan sering menjadi rujukan kepada rakan-rakannya ketika tiba waktu peperiksaan akhir semester.
Malah katanya, perkongsian ilmu itu bukan saja membolehkan manfaat pengetahuan menjadi lebih besar, ia juga memudahkan beliau untuk lebih memahami pelajaran.
“Kalau tiba waktu peperiksaan, rakan yang tidak rapat pun akan datang kepada saya untuk bertanyakan topik-topik yang mereka tidak faham atau meminta contoh jawapan kertas peperiksaan terdahulu.
“Saya tidak kisah berikutan ia dapat menambah ilmu dalam diri. Malah, memang saya diajar oleh ibu bapa saya untuk sentiasa berkongsi ilmu dengan orang lain.
“Selain itu, saya juga akan cuba mengelak untuk belajar dalam keadaan tertekan. Jika saya tertekan saya akan buat aktiviti selain belajar seperti bermain ‘game’ atau menonton filem,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM, hari ini.
Seramai 880 graduan menerima anugerah ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing yang disampaikan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub pada istiadat berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi penerima ANC dalam pengajian yang sama, Nur Syahirah Khairina Ahmad Shaharuddin, 24, berkata kejayaan yang dicapainya hari ini adalah disebabkan teknik pembelajaran yang sesuai serta rezeki daripada Allah SWT.
Gadis yang berasal dari Shah Alam itu berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.82 dan memperoleh pencapaian cemerlang sepanjang empat tahun dengan memperoleh Anugerah Dekan setiap semester.
Nur Syahirah Khairina berkata, teknik pembelajaran yang digunapakai ketika pengajian peringkat matrikulasi di Tangkak, Johor dan berjaya memperoleh CGPA 4.0 terdahulu dipraktikkan pada peringkat ijazah sarjana muda.
“Saya percaya teknik pembelajaran dengan betul itu sangat penting. Saya amalkan cara pembelajaran dengan tidak menghafal, namun, perlu faham apa yang dipelajari.
“Jika nak hafal, memang banyak dan tidak semua akan kita mampu ingat. Jadi saya akan sebaik mungkin memahami segala topik yang dipelajari,” katanya yang baharu sahaja menamatkan program Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) A-Star.
Selain itu, anak sulung daripada empat adik beradik itu turut aktif dalam aktiviti anjuran fakulti apabila dipilih menjadi mentor dalam Program Young Tutor dan turut aktif dalam program kesukarelawanan.
https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/03/544912/berkat-pemurah-ilmu-pengetahuan